Kebergantungan yang berlebihan kepada Kecerdasan Buatan (AI) boleh melemahkan keupayaan berfikir secara mendalam, dan menjejaskan kreativiti dalam jangka masa panjang.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-35 Tahun 2025 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Menyedari akan impak negatif perkara tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan yang telah menghasilkan sebuah buku Panduan AI Dalam Pendidikan sebagai langkah awal ke arah menyediakan kerangka kebangsaan AI dalam pendidikan.
Sehubungan itu, baginda sukacita memperkenankan pelancaran buku 'GenAI Guidance for Education' dan berharap buku panduan ini akan dapat memastikan para pelajar dan guru memanfaatkan AI dalam pembelajaran dan pengajaran secara beretika, berhemah, bertanggungjawab dan berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja.
Dasar-dasar pendidikan juga titah baginda, perlu sentiasa dikemas kini seiring dengan perkembangan semasa agar sistem pendidikan negara kekal relevan.
"Maka ke arah ini, beta sukacita memperkenankan 'Pengemaskinian Klausa dan Terma Rujukan Akta Pendidikan Brunei (Bab 56), yang memberi kuasa kepada Lembaga Peperiksaan Negara Brunei Darussalam untuk menganugerahkan kelayakan dan pensijilan bagi mata pelajaran tempatan di peringkat Menengah Atas dan Pra-Universiti'," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Pengemaskinian ini titah baginda lagi, akan memperkukuhkan lagi kedudukan dan kredibiliti Lembaga Peperiksaan NBD, sekali gus memastikan kelayakan yang dianugerahkan akan terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Kebawah DYMM bertitah, kerajaan baginda juga turut menitikberatkan usaha untuk memperluaskan peluang pembelajaran di semua Institusi Pengajian Tinggi, termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dengan mempelbagaikan lagi program pengajian selaras dengan keperluan semasa.
Sehubungan itu, baginda sukacita memperkenankan 'Garis Panduan bagi Institusi Pengajian Tinggi Swasta untuk Menawarkan Program Hasilan Sendiri dan Menganugerahkan Kelulusan-Kelulusan dalam Brunei Darussalam Qualification Framework (BDQF)'.
Dengan adanya garis panduan ini, kualiti program-program yang ditawarkan akan lebih relevan dengan keperluan negara, seterusnya meningkatkan kredibiliti IPTS.
"Pada hemat beta, kejayaan di peringkat pengajian tinggi ini akan banyak bergantung kepada kualiti pendidikan asas yang diterima di peringkat Pendidikan Awal Kanak-Kanak lagi.
Oleh itu, beta merasakan adalah sesuai bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan, untuk melakar sebuah Kerangka Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan yang Komprehensif," titah baginda.
Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak di negara ini menerima asas pendidikan yang holistik, inklusif dan berkualiti tinggi sejak peringkat awal lagi dengan mengambil kira juga kepentingan pendidikan agama.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto